Sosioekonomi Dan Keusahawanan
Pertanian
Pertanian merupakan aktiviti turun temurun penduduk setempat di Lubok Antu. Sekiranya dahulu aktiviti pertanian dijalankan secara tradisional, tetapi kini selaras dengan perkembangan teknologi maka aktiviti pertanian komersial turut dijalankan. Antara aktiviti-aktiviti pertanian yang dilakukan oleh penduduk setempat seperti tanaman padi bukit dan paya, tanaman getah, tanaman pokok kelapa sawit, tanaman lada, tanaman koko dan lain-lain. Seperti aktiviti penternakan juga, aktiviti pertanian turut mendapat perhatian daripada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Risda, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Lembaga Getah Malaysia dan banyak lagi. Agensi-agensi tersebut telah memberi khidmat nasihat kepada penduduk tempatan yang terlibat dengan aktiviti pertanian.
Perikanan
Lubok Antu mempunyai kawasan yang sangat sesuai untuk menternak ikan dalam sangkar. Sangkar-sangkar ikan dibina di tasik Empangan Batang Ai yang terletak di Batang Ai, Lubok Antu. Kerja-kerja penternakan dikendalikan oleh penduduk-penduduk yang menganggotai Persatuan Peladang Lubok Antu. Penternakan ikan dalam sangkar telah diusahakan sejak beberapa tahun yang lalu. Antara ikan yang diternak ialah tilapia, patin, baung dan belida. Ikan-ikan tersebut diternak di dalam sangkar berukuran kira-kira 10 meter persegi. Setakat ini, terdapat lebih 20 buah sangkar ikan yang dibina di tasik ini.Kebiasaannya, setelah diternak dalam tempoh empat bulan, ikan-ikan ini akan dijual kepada peraih dengan harga RM8.00 sekilogram mengikut jenis ikan. Lazimnya, penternak akan menjual ikan yang sudah dibersihkan kerana ia mendapat permintaan yang tinggi berbanding ikan segar. Penternak akan menjual ikan sekali dalam tempoh dua minggu kepada pemborong yang memasarkannya ke Bandaraya Kuching.
Penternakan
Penternakan merupakan aktiviti sampingan yang dilakukan oleh penduduk Lubok Antu selain daripada aktiviti pertanian dan perniagaan. Antara aktiviti penternakan yang sering dijalankan oleh penduduk setempat seperti ternakan ayam, itik, khinzir dan ternakan ikan dalam sangkar atau dalam tong. Dengan adanya bantuan daripada pihak kerajaan atas dasar ingin meningkatan pendapatan penduduk setempat, terdapat beberapa agensi kerajaan yang telah diamanahkan untuk membantu penduduk tempatan dengan menyalurkan bantuan seperti projek 1 Azam kepada penerima-penerima yang terpilih.Salah satu agensi yang telah dipertanggungjawabkan ialah Jabatan Pertanian Sarawak. Jabatan Pertanian Sarawak merupakan salah satu agensi yang dipertanggungjawabkan dalam membantu para penduduk tempatan untuk meningkatkan taraf kehidupan melalui aktiviti penternakan.
Keusahawanan
Bidang perniagaan merupakan salah satu bidang yang banyak menyumbang kepada peningkatan ekonomi di sesebuah penempatan. Begitu juga dengan penduduk di Daerah Lubok Antu. Terdapat empat buah kedai runcit yang dimiliki oleh penduduk bumiputera dan 94 buah lagi diusahakan oleh kaum Cina. Walaupun kedai runcit di sini lebih banyak dipelopori oleh kaum Cina, namun tidak menghalang kaum-kaum lain untuk turut sama bersaing secara sihat dalam bidang perniagaan.Di samping itu, terdapat kilang kelapa sawit di bawah pengurusan Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di kawasan ini.