Pendidikan
Sekolah Menengah Kebangsaan Lubok Antu
Pada tahun 1975, sekolah ini mula menerima pelajar baru dan menggunakan nama SMK Engkilili No. 2 dan terpaksa berkongsi bangunan dengan SK Lubok Antu ketika itu. Pada tahun 1976 mula menggunakan nama baru iaitu SMK Lubok Antu dan nama ini kekal sehingga sekarang. Pada tahun 1977 sekolah telah menerima bekalan elekrik untuk tempoh 12 jam daripada pihak swasta. Pada tahun 1979 sekolah ini mendapat pinjaman sebanyak RM2.2 juta dari Bank Dunia untuk kerajaan Malaysia bagi pembinaan baru sekolah. Kerja pembinaan dimulakan pada awal tahun 1980. Pada 1983 SMK Lubok Antu mula berpindahkan dari SRK Lubok Antu ke tapak sekolah yang baru (tapak sekarang). Proses perpindahan tersebut dilakukan enam bulan lebih awal memandangkan SRK Lubok Antu terpaksa menerima pelajar-pelajar dari semua sekolah rendah di kawasan pendalaman yang dijangka akan tenggelam akibat pembinaan Empangan Hidro Elektrik Batang Ai, di Wong Irup. Ketika itu pengetua baru sekolah tersebut ialah Encik Andin Brooke. Sejak penubuhannya, pelajar sekolah ini hanya menerima pendidikan menengah rendah setakat tingkatan tiga sahaja. Setelah tamat tingkatan tiga mereka akan berpindah ke SMK Datu Patinggi Kedit, Betong dan SMK Sri Aman. Mulai Januari 2001, SMK Lubok Antu mula menawarkan tingkatan empat dan seterusnya tingkatan lima pada Januari 2002. Sehingga kini SMK Lubok Antu telah ditadbir oleh 10 orang pengetua termasuk beberapa orang pemangku pengetua. Sejak itu, pelbagai perubahan dan perkembangan sekolah telah direncanakan. Kini SMK Lubok Antu berusaha mewujudkan sekolah berkesan dan cemerlang dalam semua aspek.
Sekolah Kebangsaan Lubok Antu.
Sekolah SK Lubok Antu telah Berjaya mendirikan bangunan pertama sekolah ini pada tahun 1952 oleh masyarakat cina di sekitar Pekan Lubok Antu. Pada mulanya sekolah ini telah diberi nama " Sekolah Chung Hua lubok Antu ".Dibuka secara rasmi dan mula mendaftar pelajar pertama pada bulan Januari 1953. Sekolah ini terletak bersebelahan dengan pekan Lubok Antu.
Pada mulanya sekolah ini beroperasi, murid-murid yang menuntut di sekolah ini majoritinya terdiri dari kaum cina. Namun demikian, selang beberapa tahun murid-murid kaum iban yang tinggal berhampiran dengan sekolah ini seperti rumah panjang Tinting Lalang dan Panjai Ruai turut diundang untuk bersekolah di disini.
Sekolah ini telah ditadbir oleh Lembaga Masyarakat Cina Lubok Antu dari tahun 1952 hingga 1956. Dalam jangka masa tersebut Bahasa Cina telah dijadikan sebagai bahasa penghantar. Pada tahun 1957 sekolah ini telah diambilalih pentadbirannya oleh Majlis Tempatan Daerah Lubok Antu dengan nama barunya iaitu Lubok Antu Primary School. Maka dengan itu bahasa penghantarnya pun berubah kepada Bahasa Inggeris.
Pada tahun 1974 sekali lagi pentadbiran sekolah ini bertukar tangan iaitu dari Majlis Tempatan Daerah Lubok Antu kepada Kerajaan Persekutuan Malaysia. Namanya pun berubah kepada Sekolah Rendah Kerajaan Lubok Antu dan bahasa penghantar yang digunakan ialah Bahasa Malaysia. Mulai dari tahun itu pentadbirannya diserah sebulat-bulatnya kepada Kerajaan Persekutuan, di bawah naungan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sejak tahun 1974 ada 29 buah rumah panjang, kampung atau penempatan yang menghantar anak-anak mereka bersekolah di sekolah ini. Walaubagaimanapun apabila bermulanya pembinaan empangan Hidro Elektrik Batang Ai pada tahun 1983 ada 13 buah panjang di kawasan hulu sungai menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah ini. Sekolah mereka terlibat dalam kawasan pembinaan empangan hidro itu. Sekolah-sekolah tersebut ialan SK. Nanga Mepi, SK. Nanga Delok, SK. Nanga Jela dan SK. Sungai Ara. Dengan perpindahan murid-murid dari sekolah-sekolah berkenaan maka enrolmen murid dan jumlah guru telah meningkat dengan begitu mendadak sekali. Walaupun demikian dengan wujudnya SK. Batang Ai semua murid yang berpindah dari kawasan yang terlibat dengan hidro elektrik telah ditempatkan di sekolah tersebut sehingga sekarang.
Tadika Kemas Lubok Antu
Untuk memberikan pendidikan awal kepada kanak-kanak kecil di daerah ini, sebuah Tabika yang diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) juga disediakan di kawasan ini.Kemudahan pendidikan disediakan sejajar dengan dasar kerajaan untuk melahirkan insan yang berguna kepada bangsa dan negara. Pendidikan tetap menjadi elemen penting dalam kehidupan untuk memastikan tidak wujud jurang ilmu di antara masyarakat bandar dan luar bandar.